Kapten Perak, Shahrom Kalam, tidak menganggap PKNS FC sebagai pasukan yang mudah untuk ditumpaskan, malah situasi dijangka makin sukar andai skuadnya banyak mencipta kesilapan, terutama di bahagian pertahanan.

Untuk pertemuan kedua-dua pasukan dalam aksi pembukaan Kumpualan B Piala Malaysia di Ipoh malam ini, Shahrom menuntut tumpuan 100 peratus daripada barisannya, terutama melibatkan pertahanan yang dijangka perlu bekerja keras bagi memastikan gawang tidak dibolosi.

PKNS menerusi penyerang utamanya, Patrick Ronaldinho Wleh, dianggap sebagai berbahaya biarpun hakikat kedudukan semasa dalam saingan Liga Super, Perak jauh lebih cemerlang berbanding PKNS.

"Kalau ikutkan barisan pemain mereka semuanya bagus. Kami tidak boleh mengambil mudah pemain mereka, terutama Ronaldinho. Kami perlu fokus, terutama dalam memburu kemenangan," katanya.

PKNS sudah mengharungi 14 perlawanan liga musim ini, namun secara keseluruhan prestasi skuad itu tidak begitu memuaskan dengan sekadar berada di kedudukan ke-10 dengan 12 mata.

Bagaimanapun, ada kelainan apabila melibatkan saingan Piala Malaysia dan kedudukan dalam saingan liga bukan banyangan mudah untuk menentukan nasib sesebuah pasukan.

Tegas Shahrom, Perak perlu mencari peluang untuk melayakkan diri ke peringkat seterusnya selepas kali terakhir skuad itu menjulang kejuaraan Piala Malaysia 17 tahun lalu.

"Sekarang ini kami amat positif untuk melepasi peringkat kumpulan. Kami berasakan perlawanan malam ini akan menjadi permulaan yang baik."