Pertemuan di antara Kedah dan PDRM bakal menguji kehebatan dua penjaga gol muda, Ifwat Akmal Che Kassim (Kedah) dan Haziq Nadzli (PDRM), dengan kedua-duanya berazam membantu pasukan meraih keputusan positif malam ini.

Ifwat, 20 tahun, kini menjadi sandaran utama Kedah.

Pemain kelahiran Perlis ini mempamer aksi meyakinkan sejak diberi peluang beraksi ketika bertemu T-Team, Julai lalu.

Mengetepikan rakan senior seperti Farhan Abu Bakar dan Abdul Hadi Hamid, Ifwat hanya bolos sembilan gol daripada 15 perlawanan.

"Saya rasa biasa sahaja tanpa sebarang tekanan. Saya hanya akan bermain seperti biasa dan cuba buat yang terbaik," katanya.

Bagaimanapun, situasi berbeza buat Haziq walaupun miliki reputasi lebih hebat selaku penjaga gol skuad bawah 22 tahun negara.

Penjaga gol berusia 18 tahun dari Kuala Lumpur ini dibolosi dengan jumlah jaringan lebih besar berdasarkan faktor dia kerap bermain bersama PDRM tahun ini.

"Misi saya untuk pastikan gawang kami tidak bolos supaya apabila beraksi di laman sendiri nanti, kami akan memiliki kelebihan. Apa pun, saya harap kami mampu melakar kemenangan," ujarnya.