KUALA LUMPUR 0 PERAK 2

Perak melakar kemenangan 2-0 ke atas Kuala Lumpur dalam saingan peringkat kumpulan Piala Malaysia di Stadium Cheras, malam ini.


Skuad kendalian Mehmet Durakovic itu mengharungi prestasi yang kurang konsisten apabila sekadar memungut satu mata selepas dua perlawanan -- seri dengan Felcra dan tewas kepada Terengganu FC (TFC).

Memusatkan tumpuan serta yakin untuk meletakkan mereka kembali di landasan untuk mara ke pusingan kedua, Perak berjaya mempamerkan aksi memberangsangkan berdepan The City Boys.

Dua jaringan Perak dihasilkan oleh import Bos Gaurus, Jad Noureddine dan Gilmar da Silva, untuk memastikan tiga mata, sekali gus memintas Kuala Lumpur untuk menghuni tangga kedua Kumpulan A.

Sementara itu, di Stadium Shah Alam, PKNS yang mendahului perlawanan dengan dua jaringan menerusi Rafael Ramazotti terpaksa menerima kekalahan apabila Felda United bangkit untuk memenangi perlawanan 3-2 -- jaringan pelawat dihasilkan oleh Iain Ramsay, Gilberto Fortunato dan Wan Amirul Afiq Wan Abdul Rahman.