Pengunjung Mydin Meru Raya, Ipoh tidak melepaskan peluang untuk melihat Piala Malaysia yang dipamerkan di ruang legar pasaraya besar itu.

Walaupun sambutan hambar apabila mula diletakkan di satu sudut bersebelahan sebuah kedai emas, namun lama-kelamaan pengunjung tidak putus-putus datang melihat trofi unggul yang diletak dalam peti kaca itu.

Kebanyakan mereka tidak melepaskan peluang untuk bergambar dengan trofi yang kembali ke Ipoh itu selepas tempoh 18 tahun.

Jika adapun kekecewaan, ia adalah berikutan tiada seorangpun pemain yang hadir walaupun diuar-uarkan akan hadir.

Seorang penyokong tegar pasukan The Bos Gaurus yang menetap di Kuala Lumpur, Khirul, berterima kasih kepada Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) kerana mempamerkan trofi yang menjadi lambang keagungan bola sepak negara itu.

Jelas, langkah PAFA memilih Mydin sebagai lokasi pameran hari ini dan esok, adalah bertepatan.

Katanya, mereka yang terlepas peluang melihat piala berprestij itu di Kuala Kangsar minggu lalu berkesempatan berbuat demikian di Ipoh.

Beliau, yang berbangga dengan kejayaan Perak muncul juara Piala Malaysia, berharap pengurusan pasukan akan berusaha membawa pulang Piala Liga atau Piala FA pula, musim depan.

"Biar ada kejuaraan tiap-tiap tahun.

"Langkah seterusnya ialah memantapkan pasukan dengan mencari pemain tempatan dan import berwibawa," katanya.