Gara-gara diaibkan pasukan Liga Perdana, MISC-MIFA, dalam perlawanan pembukaan Kumpulan C, Piala Malaysia di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Ahad lalu, Raul Longhi hilang jawatannya selaku ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT).

JDT, yang turun selaku juara Liga Super lima musim berturut-turut di samping juara bertahan Piala Malaysia, tewas 1-2 di gelanggang keramat mereka itu kepada jaringan pemain import lawan, Kpah Sherman dan Beom Geun Bae.

Turut hilang jawatan masing-masing bersama Longi ialah dua pembantu jurulatih, Rui Rodrigues dan Ismail Ibrahim.

Ini adalah kali kedua berlaku rombakan dalam barisan kejurulatihan JDT musim ini setelah Ulisses Morais meninggalkan pasukan Februari lalu.

Menurut satu kenyataan Malaysia Football League (MFL) malam tadi, pengendali JDT II, Benjamin Mora, kini didaftarkan selaku ketua jurulatih JDT sambil dibantu oleh individu sama ketika dalam kem JDT II, Hamzani Omar.

Pada masa sama, Luciano Figueroa dinamakan sebagai pengurus pasukan.

Laman Facebook Johor Southern Tigers juga mengesahkan ketiga-tiga mereka akan dihantar ke Atletico Madrid, Manchester City dan Wolverhampton Wanderers untuk menjalani kursus bagi menaikkan lagi taraf kejurulatihan mereka.

"Kelab Bolasepak JDT mengambil kesempatan untuk mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Longhi, Rodrigues dan Ismail atas perkhidmatan cemerlang mereka selama ini bersama kelab.

"Ini adalah perancangan kelab dari awal musim tetapi kami tidak mahu mengumumkannya kerana menunggu waktu yang tepat.

"Kami rasakan inilah masa yang paling tepat demi melakukan persiapan untuk Liga Juara-Juara Asia 2019 dan cabaran tahun-tahun akan datang," kata Pengarah Teknikal Kelab JDT, Alistair Edwards, menerusi laman Facebook Johor Southern Tigers.

Mengenai pelantikannya, Figueroa mengulas: "Saya faham tanggungjawab yang akan saya pikul dan akan lakukan sebaik mungkin kerana JDT sentiasa di hati saya.

"Saya telah menjuarai beberapa piala bersama JDT, termasuk Piala AFC, jadi ini adalah satu cabaran terbaru buat saya. Saya akan cuba lakukan yang terbaik demi kelab dan penyokong JDT."

Sementara itu, Ervin Boban pula dinaikkan pangkat selaku jurulatih JDT II daripada JDT III manakala kapten, Shakir Shaari, pula akan dihantar menjalani kursus kejurulatihan sebelum menjadi pembantu Boban.

Pemain pertahanan, Marcos Antonio, juga akan dihantar berkursus selepas dia mengumumkan persaraan daripada karier bola sepak.

Dalam perkembangan sama, pemain JDT, Safiq Rahim, turut memuji tindakan JDT itu sambil menegaskan pasukannya tidak berdepan masalah sekiranya kehilangan khidmat mana-mana jurulatih, sebaliknya kelibat Tunku Ismail dalam pasukan perlu dikekalkan.

"Tunku Ismail tahu apa yang baginda lakukan. Jika anda sedar dan mengamati sejarah sejak dari permulaan kelab pada tahun 2013 sampai ke hari ini, baginda melakukan sesuatu perkara secara konsisten, iaitu sentiasa berjaya membuktikan orang lain salah," ujar Safiq.

"Oleh itu, dengan rombakan barisan kejurulatihan ini dan segalanya, saya rasa baginda sentiasa mempunyai visi. Berbekalkan apa yang ada sekarang, baginda hanya mencari orang yang boleh bekerja dengannya.

"Sejak daripada awal, tiada orang lebih mengenali apa yang terjadi dalam kelab kecuali Tunku Ismail. Ramai orang tidak pernah ada keyakinan.

"Selalunya, semua orang ada sahaja bermacam-macam persepsi dan teori berkenaan JDT tetapi kejayaan skuad Harimau Selatan pada hari ini adalah kerana seorang individu dan kita semua tahu siapa yang dimaksudkan. Berapa banyak jurulatih dan pemain yang datang dan pergi?”



Kredit foto: Facebook Johor Southern Tigers