Penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT), Safawi Rasid, mengakui sudah mendapat rentak sebenarnya semula, sekali gus meluahkan rasa teruja untuk beraksi dengan lebih cemerlang dalam saingan Piala Malaysia 2019.

Sebelum ini, dia mengakui belum berpuas hati dengan persembahannya dalam aksi pertama peringkat Kumpulan B itu ketika menentang UiTM FC, Jumaat lalu.

Namun, kejayaan mencetak nama selaku penjaring gol pembukaan seawal minit ketujuh dalam aksi kedua ketika membenam Petaling Jaya (PJ) City FC 4-2, malam tadi, meningkatkan keyakinan pemain berusia 22 tahun itu untuk membantu pasukannya mengulangi kejayaan 2017.

"Semangat sepasukan kami semakin meningkat dan saya kini lebih banyak berkomunikasi dengan rakan sepasukan.

"Punca kemenangan kami adalah hasil daripada permainan sepasukan," katanya selepas perlawanan di Stadium Larkin itu.

Sementara itu, pengendali Harimau Selatan, Benjamin Mora, menganggap khidmat Safawi sentiasa diperlukan dalam skuadnya kerana potensinya yang semakin menyinar dalam setiap perlawanan.

Pengendali dari Mexico itu juga menyatakan anak buahnya itu semakin matang dalam membuat keputusan di atas padang.

"Dia memiliki keyakinan kerana telah berkembang sebagai pemain.

"Dia semakin matang dalam membuat keputusan yang lebih baik di atas padang dan kami juga telah berpesan kepadanya agar bermain dengan lebih agresif," kata Mora.