Pengendali Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim, menafikan skuad bimbingannya mengambil mudah cabaran Felcra FC selepas sekadar seri 2-2 di Kuala Terengganu malam tadi walaupun memiliki kelebihan dua gol.

Sebaliknya, Irfan berpendapat kelonggaran barisan pertahanan serta jentera tengah menjadi faktor utama TFC gagal mengekalkan rekod kemenangan 100 peratus dalam saingan Piala Malaysia setakat ini.

Corak permainan 'direct football' yang diamalkan pasukan lawan juga disifatkannya cukup berkesan dalam memberi masalah kepada pemain-pemainnya.

"Igor (Zonjic) tewas dengan hantaran-hantaran tinggi. Saya lihat Felcra FC cukup teruk dalam aksi bertemu Kuala Lumpur tetapi malam ini (semalam) mereka bermain baik dan berdisiplin.

"Sekali lagi jentera tengah tidak berfungsi dengan ketiadaan (Andrew) Lee Tuck dengan lambat merebut bola kedua, malah gerakan yang tidak menjadi," ujar Irfan.

Dalam aksi malam tadi, dua jaringan Ashari Samsudin pada minit ke-21 dan 46 tidak mencukupi buat TFC yang kemudian menyaksikan penjaga golnya, Mohd Suffian Rahman, menyelamatkan sepakan penalti Shahrom Abdul Kalam (m-54).

TFC begitupun gagal menghalang kebangkitan The Rival menerusi gol Mohd Alif Samsudin pada minit ke-60 sebelum Abdul Azim Rahim menyamakan kedudukan seminit sebelum tamat.

Bolos enam gol dalam tiga perlawanan, jurulatih berpengalaman itu juga mengakui pasukan lawan sudah tahu rentak TFC, namun berazam memperkemaskan pasukannya dalam aksi berikutnya.

"Ada banyak lagi peluang tetapi hanya Ashari mampu menjaringkan gol manakala (Kipre) Tchetche lebih banyak membuat larian kerana taktikal di tempat sendiri berbeza dengan beraksi di luar.

"Saya menyuruh pemain-pemain memberi tekanan. Mereka melakukannya, namun tidak sehingga minit terakhir yang membawa kepada gol penyamaan Felcra FC."