FELDA UNITED 3 PKNS 2

Felda United bangkit dua kali sebelum menewaskan PKNS FC 3-2 untuk mara ke suku akhir Piala Malaysia dalam saingan Kumpulan B di Stadium Tun Razak, Jengka, sebentar tadi.


Keputusan seri sudah memadai buat Felda United untuk mengiringi Perak ke peringkat kalah mati dengan baki satu perlawanan.

Bagi PKNS pula, perlawanan ini sekadar pelengkap jadual dengan mereka sudah pun tersingkir daripada saingan walaupun berbaki dua perlawanan.

Pasukan pelawat terlebih dahulu berada di depan menerusi jaringan Bobby Gonzales pada minit ke-31.

Felda bermula garang sebaik babak kedua bermula dengan memperoleh gol penyamaan menerusi tonggak import, Patrick Omosuyi.

Nazrin Syamsul meletakkan PKNS kembali di depan menerusi sepakan penalti pada minit ke-60, namun Felda menyamakan kedudukan melalui gol kapten pasukan, Shukor Adan, 13 minit kemudian.

Hanya dua minit berselang, Omosuyi menggegar gawang PKNS untuk gol ketiga Felda United bagi memberikan tiga mata buat skuad bimbingan B. Sathianathan.

Sementara itu, Perak terus mengungguli Kumpulan B apabila menundukkan Kuala Lumpur 2-0 di laman sendiri.

Gol The Bos Gaurus disumbangkan oleh Gilmar Da Silva dan Kenny Pallraj pada separuh masa pertama.

KEPUTUSAN LAIN:

PAHANG 6 PKNP FC 0

T-TEAM 4 NEGERI SEMBILAN 1

PERAK 2 KUALA LUMPUR 0

KEDAH 1 UiTM FC 0

JOHOR DARUL TA'ZIM (JDT) 5 TERENGGANU 0

Kredit imej: FB PKNS FC