Pengendali Felcra FC, Tarcisio Pugliese, menyifatkan skuad bimbingannya berhak mengutip satu mata selepas seri 2-2 dengan Terengganu di tempat lawan, malam tadi.

Sambil berpendapat kedua-dua pasukan beraksi baik, Pugliese berkata Felcra memiliki lebih banyak peluang dengan 10 percubaan berbanding hanya lima dilakukan Terengganu.

Reputasi lawan selaku pasukan Liga Super tidak melemahkan semangat The Rival yang bangkit daripada ketinggalan dua gol dan menyamakan kedudukan pada minit-minit terakhir.

"Saya sudah menjangkakan aksi yang sukar bertemu Terengganu.

"Jadi, kami berhak membawa pulang satu mata berharga ini," ujar Pugliese.

Sementara itu, dia enggan menyalahkan kapten, Shahrom Abdul Kalam, yang mensia-siakan sepakan penalti pada babak kedua, sekaligus melepaskan peluang keemasan Felcra untuk melakar kejutan.

Sebaliknya, situasi itu bukan masalah besar baginya selain memberi kredit kepada pemain simpanan yang memberikan impak diingini, termasuk Abdul Azim Rahim yang muncul penyelamat Felcra.

"Pemain-pemain mahukan peluang beraksi dan apabila diberi peluang itu, saya gembira mereka tidak menghampakan pasukan," tambah jurulatih kelahiran Brazil itu.