Jurulatih PKNS FC, E. Elavarasan, mengakui sebahagian besar pemain tempatannya masih tercari-cari rentak selepas lapan aksi Liga Super ekoran dihantui masalah kecederaan lampau.

Begitupun, dia menuntut mereka segera bangkit jika mahu terus kekal dalam pasukan.

Nyata segalanya belum menjadi buat skuad Semut Merah yang sekadar mencatatkan dua kemenangan serta dua keputusan seri setakat ini biarpun dibarisi ramai pemain berpengalaman.

Situasi berkenaan jelas meresahkan Elavarasan yang tidak dapat berselindung terhadap kekecewaannya dengan prestasi beberapa pemain tertentu.

Bagaimanapun, dia masih menaruh keyakinan pemain-pemain terbaik akan mendapat rentak untuk membantu perjuangan PKNS dalam saingan Liga Malaysia.

"Pada pandangan saya, ramai pemain yang hadir ini baru sembuh daripada kecederaan dan merupakan pengalaman pertama beraksi di Asia.

"Jadi, di sini adalah satu platform untuk mereka menaikkan semula nama mereka.

"Mereka perlu diberi sedikit masa untuk mendapatkan rentak dan menyesuaikan diri," katanya.

Bagi tiga lagi baki pusingan pertama Liga Super nanti, Elavarasan berasakan mereka dalam kedudukan baik untuk layak ke Piala Malaysia.

Biarpun bakal berdepan Kedah, Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Melaka United, dia berasakan tiada yang mustahil buat PKNS jika mereka mengimpikan kemenangan dalam perlawanan-perlawanan itu.

"Jurang mata antara pasukan tidak jauh. Maka, sebarang mata yang diperolehi akan memberi kami kelebihan dalam liga.

"Untuk aksi Piala Malaysia, saya yakin kami akan layak."