Senyuman akhirnya terukir di wajah pengendali Pahang, Dollah Salleh, selepas melakar kemenangan 2-0 ke atas Selangor dengan melabel barisan Tok Gajah sudah bangun daripada lena yang panjang sejak muncul juara Piala FA.

Pahang kembali mempamerkan keunggulan dengan aksi cukup bertenaga ke atas Selangor yang gagal memberi saingan sepanjang perlawanan di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Dollah begitu ceria kerana bukan sahaja merakam kemenangan sulung, malah inilah persembahan yang dituntutnya daripada setiap pemain.

Kini, dia menagih konsistensi yang sama dalam aksi Kumpulan D akan datang.

"Selepas memenangi Piala FA, pemain-pemain mungkin bersikap sedikit santai memandangkan sudah memenangi piala.

"Alhamdulillah, malam ini (tadi) terbukti kami telah menunjukkan satu permainan (yang menarik).

"Saya amat berpuas hati," kata jurulatih berpengalaman itu.

Selangor pula terus dirudung malang dan jurulatih, Nazliazmi Nasir, seolah-olah sudah kekeringan idea dalam mencari formula membentuk kesebelasan terbaik.

"Peluang sentiasa diberikan (kepada pemain).

"Saya tiada pemain pilihan tertentu kerana saya tahu pemain-pemain memerlukan aksi dan yang terbaik untuk mereka sendiri.

"Saya sentiasa memberikan mereka peluang tetapi masih ada beberapa pemain yang tidak membalas sepenuhnya kepercayaan yang saya berikan," katanya.