Jurulatih Sarawak, David Usop, sukar untuk menerima jaringan kedua pihak lawan yang tercipta melalui gol sendiri pertahanan, Mohd Dzulazlan Ibrahim, sambil melihat ia sebagai punca mereka tewas 1-2 kepada Selangor dalam saingan Kumpulan D, Piala Malaysia di Kuching, semalam.

Daripada segi permainan, Sarawak mampu menyaingi lawan tetapi dua kesilapan sendiri membuatkan hajat mereka untuk menamatkan kemarau kemenangan sejak 2014 ke atas Selangor masih belum kesampaian.

Paling ketara gol sendiri dilakukan Dzulazlan pada minit ke-65 ketika dia hanya diberikan sedikit tekanan oleh Francis Forkey Doe yang sebelum itu meledak gol sulung Selangor.

Menurut David, dia tiada jawapan terhadap kesilapan pemain berusia 29 tahun itu yang dianggap satu kesilapan mudah.

"Kalau kata dia jatuh, tak kan bola pergi macam itu? Saya tidak tahu. Ketika senario itu berlaku, saya terkejut bola itu pergi sebegitu.

"Nak salahkan dia pun tak boleh. Cuma saya boleh mengharapkan dia menguatkan mental dan mengekalkan fokus untuk tempoh 90 minit. Apabila mental tidak kuat, kesilapan akan berlaku. Ini bukan kesilapan kecil," katanya.

Sementara itu, jurulatih Selangor, P. Maniam, lega dengan kemenangan 2-1 ke atas Sarawak untuk meletakkan mereka mengekori rapat Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam saingan Kumpulan D.

Malah, taktikalnya meletakkan tiga pertahanan tengah, termasuk Adam Nor Azlin, membuahkan hasil apabila banyak menutup ruang asakan Sarawak.

"Kami nampak beberapa pemain Sarawak memiliki larian pantas. Jadi, kami cuba tidak memberi ruang untuk mereka menyerang.

"Saya berasakan pemain saya memahami perkara itu dan mereka bertahan dengan baik," katanya.

Kemenangan itu menyaksikan skuad Gergasi Merah berada di tangga kedua kumpulan sementara JDT masih di persada selepas terikat seri tanpa jaringan menentang Terengganu.