Sehingga kini, pemain import kelahiran Indonesia, Andik Vermansyah, masih tidak percaya pasukannya, Kedah, gagal ke suku akhir Piala Malaysia selepas tumbang 2-0 kepada tuan rumah, Kelantan, Ahad lalu.

Katanya, biarpun Kedah hanya perlu mencatatkan keputusan seri dalam aksi terakhir Kumpulan C itu, mereka dikecewakan oleh semangat tinggi pemain The Red Warriors (TRW).

"Masih tidak percaya kami gagal kerana skuad Kedah turun ke Kota Bharu dengan semangat yang hebat. Tambahan pula, kami baru menewaskan Johor Darul Ta'zim (JDT).

"Saya tidak mahu komen atas kekalahan mengejut itu tetapi tahniah kepada pemain muda Kelantan yang berjaya ke suku akhir," katanya.

Ditanya status kontraknya yang bakal berakhir Disember ini, Andik yang mengisi slot kuota import Asean menyerahkan kepada Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) untuk membuat keputusan.

"Saya semakin sayangkan skuad ini dan kami umpama sebuah keluarga besar. Saya bangga diberi peluang beraksi bersama pasukan yang mempunyai 'nama' dalam Liga Malaysia (Liga-M).

"Tentang kontrak baharu, saya serahkan kepada KFA untuk membuat keputusan. Jika tiada rezeki lagi, saya sentiasa doakan yang terbaik untuk Hijau Kuning," katanya.

Andik juga memohon maaf atas kegagalan membantu Lang Merah menjulang kejuaraan Piala Malaysia musim ini.

"Dengan rendah diri, saya minta maaf atas kegagalan pasukan ke suku akhir. Rezeki tidak berpihak kepada kita biarpun bermain dengan baik," katanya.

Kredit Foto: Ahmad Zaki Osman