Undian Piala FA: JDT dikecualikan, Selangor hadapi Kelantan

By Staff Writer 4 March 2019 31056
Undian Piala FA: JDT dikecualikan, Selangor hadapi Kelantan
Undian pusingan kedua Piala FA membabitkan 31 pasukan -- 12 pasukan Liga Super, sembilan pasukan Liga Perdana dan 10 pasukan amatur -- berlangsung di Pusat Seni Persembahan Damansara (DPAC), Petaling Jaya, hari ini.

Perlawanan pusingan pertama hujung minggu lalu menyaksikan 10 pasukan amatur layak ke pusingan kedua, antaranya Penjara FC, Ultimate FC dan Batu Dua FC.

Undian pusingan kedua hari ini menyaksikan wakil negara dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL), Johor Darul Ta'zim (JDT), mendapat undian pengecualian untuk terus mara ke pusingan ketiga walaupun mereka tersingkir di tangan Pahang dalam suku akhir edisi lalu.

Keputusan itu, bagaimanapun, bukanlah sesuatu yang dirancang, sebaliknya JDT bernasib baik untuk mengisi slot FA 3 (slot pengecualian) berdasarkan cabutan undi yang dilakukan Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Yusoff Mahadi, dan Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Kevin Ramalingam.

Juara bertahan, Pahang, pula mendapat laluan mudah apabila diundi menentang pasukan amatur, PIB FC.

Juara lima kali, Selangor, berdepan ranjau berliku dengan dijadual berdepan Kelantan, yang kali terakhir menjulang piala itu pada 2013.

Kedah pula akan menantikan cabaran pendatang baru Liga Perdana, Selangor United.

Secara keseluruhan, 30 pasukan akan berentap dalam 15 perlawanan pusingan kedua bulan depan.

About Author

Staff Writer

Comment