Tidak sangka kami dapat enam gol -- Cheng Hoe

By Farizal Yusoff 3 April 2017
Tidak sangka kami dapat enam gol -- Cheng Hoe
Ketua Jurulatih Kedah , Tan Cheng Hoe, tidak menyangka pemainnya mampu menjaringkan enam gol dalam saingan  suku akhir pertama Piala FA menentang kelab Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC  di Stadium Darul Aman, malam kelmarin.

“Di sebalik tekanan yang tinggi, saya mengharapkan pemain beraksi seperti biasa dan menggunakan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri untuk mencari kelebihan gol. Benteng pertahanan pula jangan leka dan setiasa fokus.

“Saya tidak sangka kami dapat jaringkan enam  gol di depan ribuan penyokong sendiri dan tahniah kepada semua pemain yang beraksi cukup baik dan berdisiplin,” katanya. 

Cheng Hoe juga menyifatkan Helang Merah sudah berada di ambang kemenangan apabila berjaya menyerap tekanan dan mendapatkan gol awal permainan.

“Gol minit ke-14 oleh Fitri Omar melalui sepakan percuma berjaya menambahkan keyakinan pemain untuk beraksi lebih baik dan memberi lebih tekanan kepada PKNP.

“Apabila kami berjaya menjaringkan dua gol lagi (melalui Fitri Omar dan Liridon Krasniqi) sebelum separuh masa pertama berakhir,  saya yakin kemenangan akan berpihak kepada Helang Merah,” katanya.

Dalam saingan kelmarin, Kedah berada dalam kelas tersendiri apabila mudah mendahului kelab dari Perak itu 3-0 dalam separuh masa pertama melalui dua jaringan  Fitri dan sepakan penalti yang disudahkan Liridon.

Dalam aksi babak kedua pula, Kedah menambah tiga lagi jaringan melalui penyerang import, Ken Ilso (minit ke-47 dan 90) dan Syafiq Ahmad pada minit ke-86.

PKNP mendapat gol sagu hati melalui rembatan kencang Khairul Asyraf Ramli pada minit ke-83 yang berjaya menewaskan penjaga gol Kedah, Ifwat Akmal.

Kemenangan besar ini membolehkan skuad Helang Merah dalam keadaan selesa untuk mara ke separuh akhir Piala FA sambil membiarkan skuad bimbingan Abu Bakar Fadzim terus mencari ilham untuk bangkit di Stadium Perak, 21 April nanti.

About Author

Farizal Yusoff

Comment