Sathia berang dengan PKNP

By Staff Writer 3 April 2018 347
Sathia berang dengan PKNP
Jurulatih Felda United, B. Sathianathan, menganggap keputusan pasukan tuan rumah, PKNP FC, yang memohon aksi suku akhir pertama Piala FA di Stadium Batu Kawan diadakan pada sebelah petang sebagai agenda untuk melemahkan pasukannya.

Sathianathan berasakan ia adalah taktik daripada lawan itu untuk mencari kutipan mata selesa, dengan mengharapkan aksi pada sebelah petang akan memberi kesukaran kepada Felda.

Jelas sekali kecergasan pemain lebih teruji jika perlawanan berlangsung pada sebelah petang dan ia sekali gus memberi kesukaran buat Felda yang dibarisi pemain berusia seperti kapten pasukan, Muhammad Shukor Adan, Mohd Farizal Harun dan Irwan Fadzli Idrus.

"Ini mungkin taktik mereka, (kerana) kami kuda tua semua, cepat penat bermain petang. Itu terpulanglah (kepada mereka).

"Tahun depan, saya nak cadangkan Felda bermain pukul 11 malam atau 2 petang. Saya (akan) ambil pemain-pemain muda," ujarnya.

Bagaimanapun, keputusan PKNP yang dipersetujui Liga Bolasepak Malaysia (MFL) itu dianggap membunuh keindahan bola sepak ketika Stadium Batu Kawan sebenarnya membolehkan aksi pada sebelah malam.

"Kalau kita nak permainan yang cantik, kalau nak nilai hiburan untuk penyokong, kita perlu pertimbang bermain pada waktu malam.

"Mengapa kita tidak bermain malam? Tetapi, saya dengar daripada pihak MFL yang kendalikan liga ini ia terpulang (bergantung) kepada tuan rumah," katanya lagi.

Tegas Sathianathan, walaupun pihak lawan cuba melakukan agenda itu, ia tidak menghalang hasrat besar Felda untuk mencari kelebihan dalam aksi pertama suku akhir Piala FA nanti.

About Author

Staff Writer

Comment