Piala FA: Pahang tidak pandang mudah PIB FC

By Staff Writer 4 March 2019 2207
Piala FA: Pahang tidak pandang mudah PIB FC
Juara bertahan Piala FA, Pahang, tidak memandang mudah lawan mereka dalam pusingan kedua, PIB FC, walaupun hakikatnya pasukan amatur itu bukan lawan setara mereka.

Undian pusingan kedua Piala FA di Pusat Seni Persembahan Damansara (DPAC), Petaling Jaya, hari ini menyaksikan skuad Tok Gajah itu akan berdepan laluan mudah menentang PIB FC. 

Namun, persepsi berbeza dikongsikan pengurus pasukan Pahang, Datuk Mohammed Suffian Awang, yang menganggap perlawanan sengit pasti akan dihadapi pasukannya sambil menegaskan tiada istilah perlawanan mudah buat barisan pemain mereka. 

Kemampuan PIB FC juga tidak boleh diragui ketika mereka akan mencuba untuk melakar kejutan dalam aksi pusingan kedua itu.

"Dalam saingan Piala FA, kami tidak boleh mengambil mudah kemampuan setiap pasukan.

"Kami tetap akan membariskan pemain sedia ada dan bermain seperti biasa untuk menghadapi PIB FC," katanya. 

Terdahulu, berlaku sedikit kekecohan dalam sesi undian apabila posisi bernombor enam dan sembilan yang tertukar menimbulkan kekeliruan, namun ia sudah diselesaikan dengan undian membabitkan pasukan Kelantan, yang akan berdepan juara lima kali, Selangor, itu tetap dikira. 

"Kami lebih memilih untuk berdepan Kelantan.

"Ia bukan laluan mudah memandangkan Kelantan merupakan pasukan yang gah satu ketika dulu.

"Beraksi di laman mereka pasti menjadikan ia bukan tugasan mudah buat kami," kata pengurus Selangor, Datuk Abdul Rauf Ahmad.

About Author

Staff Writer

Comment