Kekeliruan nombor 6, 9 tidak jejas undian Piala FA

By Bernama 5 March 2019 2343
Kekeliruan nombor 6, 9 tidak jejas undian Piala FA
Kesilapan posisi nombor enam dan sembilan dalam undian pusingan kedua Piala FA 2019 tidak menjejaskan kredibiliti majlis berkenaan yang diadakan semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Kevin Ramalingam, menjelaskan tiga panel, iaitu pihak Undang-Undang Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) dan Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) hadir menyaksikan undian itu dan telah membuat pengesahan serta tiada keperluan untuk diundi semula.

Kekeliruan nombor enam dan sembilan melegakan pasukan Liga Super, Kedah dan Selangor apabila dua pasukan itu dapat mengelak pertembungan sesama sendiri.

Kesilapan pada posisi nombor yang dibaca menyaksikan dua pasukan itu akhirnya kekal diundi bertemu pasukan Liga Perdana.

“Saya ingin pastikan semua wakil pasukan yang hadir tidak mempunyai sebarang isu berkenaan keputusan undian yang sudah disahkan oleh wakil bebas kami.

“Saya sudah menerima pengesahan keputusan daripada mereka dan saya harap ia tidak menimbulkan keraguan kepada penyokong,” ujar Kevin.

Kedah yang mengisi posisi nombor sembilan sepatutnya bertemu Selangor, namun kesilapan melihat nombor itu sebagai nombor enam menyaksikan mereka akan bertemu Selangor United.

Buat Kelantan, kesilapan melihat nombor itu sebagai nombor sembilan menyebabkan mereka berdepan laluan sukar apabila akan bertemu juara lima kali, Selangor.

About Author

Bernama

Comment