Azhan anggap kad merah undang padah

By Staff Writer 28 July 2019 2577
Azhan anggap kad merah undang padah
Pertahanan Perak, Amirul Azhan Aznan, menyalahkan pengadil perlawanan, Takuto Okabe, sebagai punca dibuang padang sehingga menjadi titik tolak kekalahan 0-1 kepada Kedah di pentas final Piala FA 2019, malam tadi.

Azhan mempamerkan aksi ampuh ketika mengekang asakan lawan, terutama daripada pemain sayap Kedah, Farhan Roslan. 

Memastikan Farhan sukar untuk memecah benteng di bahagian kanan, pertahanan negara itu bagaimanapun tidak bernasib baik.

Dia diperintah meninggalkan padang dalam masa kecederaan gara-gara mengasari pemain gantian Kedah, Azammuddin Akil.

Kehilangannya memberi impak buruk kepada Perak yang akhirnya dibolosi selepas perlawanan berlanjutan ke masa tambahan. 

"Selepas saya diarah keluar padang, kelebihan memihak kepada Kedah apabila mula melancarkan lebih banyak serangan.

"Saya agak kecewa dengan tindakan pengadil yang tidak memberikan peringatan ketika melayang kad merah kepada saya," katanya.

"Saya ingin memohon maaf jika menjadi punca kekalahan Perak kali ini.

"Kami sepasukan telah cuba yang terbaik tetapi nasib tidak menyebelahi kami."

About Author

Staff Writer

Comment