Melaka United memperbaiki kedudukan dalam saingan Liga Super 2018 untuk berada di tangga keempat selepas menundukkan PKNP FC 2-0 di Stadium Hang Jebat, semalam.

Kedua-dua pasukan turun dengan misi meraih mata kesembilan selepas mengutip enam mata hasil daripada empat perlawanan.

Bagaimanapun, asakan bertubi-tubi yang dilancarkan pelawat memaksa skuad kendalian Eduardo Almeida itu beraksi secara bertahan untuk menyerap serangan.

Namun, Melaka terlebih dahulu membuka tirai jaringan apabila penyerang import dari Belarus, Yahor Zubovich, mengambil kesempatan di atas kelekaan benteng pelawat untuk menjaringkan gol pertama pada minit ke-14.

Selepas babak pertama tamat dengan kedudukan 1-0, percaturan PKNP untuk terus memburu jaringan penyamaan dilihat berkobar-kobar apabila jentera serangan yang diketuai Yeon Gi-Sung dan kapten, Shahrel Fikri Md Fauzi, sering menguji gawang tuan rumah yang dikawal Mohd Zamir Selamat.

Ketika aksi berbaki empat minit, Zubovich sekali lagi menjadi watak pemusnah selepas rembatan kencang kaki kirinya melepasi jangkauan Bryan See untuk memastikan kemenangan 2-0 menjadi milik Melaka.

"Apa yang saya nampak, Zubovich sudah menerima sentuhannya berbanding dalam aksi sebelum ini ketika kami menentang Melaka. Secara konsisten, dia telah menjaringkan gol dan menjadi pemisah di antara pasukan kami dan tuan rumah.

"Benteng PKNP juga lalai dan leka, jadi dihukum dengan gol-gol yang mudah," kata pengendali PKNP, Abu Bakar Fadzim.

"Kami meraih tiga mata dan itu sasaran utama kami. Ini adalah perlawanan yang penting buat kami dan seluruh pasukan dapat meraih keputusan yang positif," ujar Almeida.