Melaka mahu kekal fokus dalam perlawanan terakhir Liga Super, Sabtu ini walaupun peluang untuk menduduki kelompok tiga teratas hampir tertutup selepas diikat PKNS FC 1-1 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Hang Jebat, semalam.

Kegagalan memanfaatkan aksi terakhir di laman sendiri itu juga menyaksikan hasrat skuad Sang Kancil itu untuk memperbaiki kedudukan tidak kesampaian apabila berada di tangga kelima dengan mengumpul 33 mata di belakang Kedah dan Selangor yang berkongsi 34 mata.

Ketua jurulatih, Zainal Abidin Hassan, berkata bagi aksi bertemu Pahang di Stadium Darul Makmur akan datang, dia berharap tahap kecergasan pemain kembali pulih dan memberikan yang terbaik serta konsisten di samping memperbaiki kesilapan untuk permainan lebih tersusun.

"Dengan kedudukan sekarang, ia juga satu pencapaian yang baik untuk pasukan yang masih baru seperti Melaka.

"Di sini saya memahami kedudukan kami bukanlah kegagalan di saat akhir tetapi kehilangan pemain seperti Liridon Krasnisqi dalam tujuh aksi di pertengahan saingan dilihat turut memberi kesan pada pasukan.

"Sayang seribu kali sayang tetapi selepas jendela perpindahan dengan kemasukan beberapa pemain, termasuk Luka Milunovic, kami kembali mendapat rentak serta menyesuaikan pasukan sehingga dalam lima aksi terakhir, termasuk di tempat lawan, apabila mencatat kemenangan.

"Apapun, yang paling penting, kami akan fokus bertemu Pahang nanti," katanya.

Dalam aksi yang disaksikan lebih 3,500 penonton malam tadi, perlawanan seimbang itu menyaksikan kedua-dua pasukan sering mencari peluang untuk mendahului, namun tiada sebarang jaringan dihasilkan hingga tamat separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, anak buah Zainal terus meningkatkan asakan dan akhirnya memperoleh gol menerusi pemain pertahanan, Shukor Adan, pada minit ke-54, namun penjaring terbanyak Liga Super setakat ini, Kpah Sean Sherman, menyumbat gol di minit ke-80, sekali gus meranapkan hasrat tuan rumah untuk mengutip mata penuh.

Mengulas mengenai perlawanan itu, Zainal tetap memuji barisan pemainnya yang berjaya mengekang pasukan lawan biar pun mereka berada dalam tekanan untuk mencari kemenangan bagi memperbaiki kedudukan dalam kelompok teratas liga.

"Sayang sekali kami tidak dapat mata penuh untuk berada di tangga ketiga. Pemain telah berusaha sedaya-upaya mereka, cuma satu kesilapan telah beri peluang kepada PKNS menjaringkan gol tetapi saya tetap berbangga dengan pasukan ini," katanya.

-- BERNAMA