Pengendali Kelantan, Zahasmi Ismail, mencabar anak buahnya untuk melenyapkan badi gol di laman sendiri musim ini dalam usaha mereka meraih kemenangan menentang T-Team, malam ini.

Buntu jaringan dalam tempoh 270 minit -- rekod yang jarang berlaku kepada mana-mana pasukan handalan -- tetapi itulah situasi yang dialami gergasi Pantai Timur, Kelantan, ketika beraksi di gelanggang sendiri.

The Red Warriors tewas tiga perlawanan berturut-turut di Kota Bharu musim ini tanpa sebarang jaringan berjaya dihasilkan.

Enggan perkara sama berulang, Zahasmi mahu jentera serangan Kelantan menyerlahkan ketajaman penyudah ketika bertemu T-Team.

"Kami telah tewas tiga perlawanan di laman sendiri, namun cemerlang dalam tiga perlawanan di tempat lawan. Kami berharap dapat mengakhiri badi ini," katanya.

Sementara itu, kem The Titans mengharapkan tuah rekod buruk Kelantan di Stadium Sultan Mohammed Ke-IV untuk mereka membawa pulang tiga mata penuh.

"Ini merupakan peluang buat pasukan T-Team bagi meraih mata berdasarkan rekod Kelantan yang gagal mempamerkan prestasi cemerlang di laman sendiri," ujar penolong jurulatih T-Team, Azahari Salim.