Pemangku ketua jurulatih The Red Warriors (TRW), Yusri Che Lah, mengakui kegagalan jentera serangan menyempurnakan peluang menjadi faktor Kelantan tewas 0-2 kepada PKNS FC di Stadium Sultan Muhammad IV, malam tadi.

Sedar kekalahan di gelanggang sendiri itu terus menyempitkan peluang Kelantan kekal dalam Liga Super musim depan, Yusri berharap pemain mudanya tidak mudah berputus asa dan cuba mencari kemenangan dalam baki enam lagi perlawanan.

"Saya terpaksa akui kami gagal menghasilkan jaringan biarpun menguasai sebahagian besar permainan.

"Kami menguasai bahagian tengah dan pertahanan tetapi gagal mendapatkan jaringan. Kami kena bekerja keras untuk mendapatkan sesuatu dalam perlawanan akan datang.

"Saya bertanggungjawab sepenuhnya atas kekalahan ini. Saya tidak akan lari daripada memikul amanah ini. Kami akan cari jalan untuk bangkit semula dalam enam lagi baki perlawanan Liga Super selepas ini," katanya.

Ditanya mengenai prestasi penyerang import baharu kelahiran Brazil, Cristiano Marcolino Santos, Yusri berharap penyokong dan media dapat membuat penilaian yang adil kerana pemain itu baru sahaja dalam proses penyesuaian diri tetapi mampu beraksi dalam 90 minit permainan.

"Saya bukan mahu mempertahankannya (Santos) tetapi kita perlu adil kepadanya. Dia baru saja bersama Kelantan 36 jam lalu dan turun beraksi selama 90 minit."

Dalam aksi malam tadi, penyerang import PKNS, Bruno Oliveira De Matos muncul wira apabila menjaringkan dua gol (m-4 dan m-86) untuk menghadiahkan kekalahan ke-11 kepada The Red Warriors (TRW).

Kekalahan ini juga terus memberi tekanan kepada Kelantan yang perlu menang dengan Perak di gelanggang lawan 26 Jun depan jika masih menyimpan hajat untuk kekal beraksi dalam saingan Liga Super musim depan.