Peluang pemangku jurulatih Kelantan, Yusri Che Lah, untuk terus mengemudi pasukan masih belum tertutup sepenuhnya meskipun terkandas dalam pusingan ketiga Piala FA, musim ini.

Perkara itu diumumkan Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan, terhadap kedudukan Yusri selepas tewas kepada PKNS FC 4-1, Sabtu lalu.

Ini berikutan bekas jurulatih skuad kebangsaan Syria, Fajr Ibrahim, sah dilantik sebagai pengarah teknikal The Red Warriors (TRW), Ahad lalu dan bukannya sebagai ketua jurulatih.

Lantas ia bermakna peluang untuk Yusri masih lagi terbuka kerana memahami situasinya yang hanya meneruskan tugas jurulatih terdahulu, Sathit Bensoh, yang dipecat bulan lalu.

"Kita ada masa rehat yang panjang (perlawanan antarabangsa). Kami sempat mengadakan perbincangan dengan Fajr Ibrahim (sebelum perlawanan dengan PKNS) tetapi belum memutuskan untuknya mengambil alih jawatan pengarah teknikal atau sebaliknya," ujar Bibi Ramjani.

Yusri, bagaimanapun, bertanggungjawab untuk terus membimbing Kelantan dan mengharapkan semua pihak dapat memberinya masa untuk memulihkan prestasi pasukan.

"Beri saya ruang dan masa. Saya tidak katakan saya mempunyai magis untuk mengubah pasukan.

"Tetapi kami masih mempunyai peluang dalam Liga Super -- satu-satunya pertandingan yang kedudukannya perlu kami raih setinggi yang boleh," kata Yusri.