"Maafkan saya Kelantan."

Demikian luahan Yusri Che Lah selepas dia menyatakan persetujuan untuk membimbing Kuala Lumpur, sekali gus menolak tawaran sambungan kontrak oleh Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA).

Yusri sebelum ini pernah memberitahu Nadi Arena bahawa dia memutuskan untuk kekal membimbing Kelantan dan menolak tawaran Kuala Lumpur pada 20 November lalu, cuma dia belum menandatangani sebarang kontrak.

Namun, sebaik pulang daripada mengerjakan umrah, Ahad lalu, situasi yang berlaku di Kelantan membuatkan Yusri mengubah pendirian dengan membuat pusingan 'U' apabila memilih Kuala Lumpur.

Beliau mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada Kuala Lumpur kerana sudi membuka kembali tawaran.

Namun, dalam masa sama, Yusri memohon maaf kepada seluruh pencinta bola sepak Kelantan atas keputusan sedemikian.

"Allah membuka hati saya dan pihak pengurusan untuk menerima saya.

"KLFA berjuang habis-habisan untuk mendapatkan khidmat saya di sini.

"Saya cukup berterima kasih dan Allah sahaja akan balas budi baik mereka.

"Saya juga ingin berterima kasih kepada Kelantan, terutama presidennya, Bibi Ramjani Ilias Khan, yang membenarkan saya mengundurkan diri dengan baik," jelas Yusri yang memuktamadkan perjanjian itu.

Menurut Setiausaha Agung KLFA, Nokman Mustaffa: "Selepas Yusri pulang daripada umrah, barulah kami mendapat jawapan bahawa beliau ingin bersama Kuala Lumpur.

"Kalau jawapannya adalah 50-50, mungkin kami tidak akan cuba mendapatkan khidmatnya."

Mengenai perancangan pasukan, Yusri tidak bercadang untuk melakukan rombakan besar-besaran sambil mengekalkan sebahagian besar pemain tempatan dan hanya mencari dua pemain import baru.

"Kuala Lumpur akan dibarisi seramai 85 peratus muka-muka lama, jadi kekuatan pasukan itu masih ada.

"Cuma saya perlukan pasukan ini diperkuatkan dengan dua lagi pemain import sementara perjanjian salah satunya sudah dimuktamadkan.

"Selain itu, saya juga akan cuba mendapatkan dua lagi pemain tempatan," tambah Yusri.