Memperbaiki masalah di bahagian pertahanan menjadi agenda utama pengendali baru Kuala Lumpur, Yusri Che Lah, selepas skuad The City Boys itu muncul pasukan paling banyak dibolosi di pentas Liga Super 2018, iaitu sebanyak 51 gol dalam 22 perlawanan.

Walaupun Kuala Lumpur sekadar menduduki tangga ke-10 Liga Super, mereka muncul pasukan kedua terbanyak yang mencipta jaringan selepas Johor Darul Ta'zim (JDT).

Namun, ia tidak diimbangi di bahagian pertahanan selepas mereka muncul antara pasukan paling mudah dibolosi musim lalu.

Cabaran Yusri ketika ini adalah bagaimana membentuk kombinasi lebih baik di bahagian pertahanan tatkala pilihan pemain semakin terhad.

"Kami mendapatkan khidmat Fitri Omar (Terengganu) dan Alif Samsudin yang merupakan bekas pertahanan Felcra FC.

"Selebihnya, saya telah mengenal pasti beberapa tonggak skuad Piala Presiden yang menunjukkan peningkatan dan perlu memperkemaskan aksi mereka.

"Ini suatu perkembangan yang baik," ujar pengendali itu.

Dalam pada itu, Yusri mendedahkan beliau juga sukar untuk membuat keputusan apabila Kuala Lumpur kini memiliki enam penjaga gol termasuk Ahmad Solehin Mamat, yang mengalami kecederaan.

Membayangkan akan menggugurkan Kamarul Effandi Abdul Rahim, Yusri hanya akan membuat keputusan berdasarkan sesi latihan dalam tempoh dua minggu ini.

"Saya tidak mahu membuang masa Kamarul dan dia juga maklum dengan situasinya di sini.

"Adalah lebih baik saya berterus terang kepadanya dan sekiranya dia mendapat tawaran daripada pasukan lain, saya akan memberi lampu hijau.

"Sekiranya dia menunjukkan peningkatan prestasi dalam masa terdekat ini, saya akan mengekalkannya," tambah bekas jurulatih Kelantan itu.

Sementara itu, Kuala Lumpur mengesahkan telah menyambar khidmat pemain tengah dari Jepun, Ryutaro Karube.