Ketua jurulatih Perak, Karl-Heinz Weigang, memuji aksi yang ditampilkan anak buahnya yang lebih berdisiplin untuk meraih tiga mata selepas menundukkan Pulau Pinang 1-0 dalam saingan Liga Super, malam tadi.

Weigang menyifatkan barisan pemainnya lebih bijak mengawal perlawanan kali ini berbanding aksi pertama berdepan Pahang, Sabtu lalu, yang berkesudahan 1-1.

Bagaimanapun, ini tidak bermakna dia sudah berpuas hati sepenuhnya kerana masih terdapat beberapa pemain yang kerap kali melakukan hantaran tinggi yang tidak sepatutnya.

Bagi Weigang, peluang mudah dicipta untuk menjaringkan gol jika anak buahnya tahu melakukan hantaran yang lebih sempurna antara satu sama lain.

"Saya tidak boleh terlalu berpuas hati dengan kemenangan ini kerana pemain sayap saya melakukan banyak hantaran tinggi yang melayang.

"Bola sepak sepatutnya berlangsung di atas padang," jelas Weigang.

Sementara itu, pengendali Pulau Pinang, Ashley Westwood, mengakui kegagalan pemainnya mengikut perancangan asal perlawanan menjadi punca tewas.

"Ketika kami ketinggalan, kami perlu kekal dengan perancangan asal.

"Kadang-kala ketika ketinggalan, pemain akan mula mengejar bola dan taktikal asal akan dilupakan.

"Jika kami kekal dengan perancangan asal, sudah tentu keputusan lebih baik akan diraih," kata Westwood.