Pengendali Perak, Karl-Heinz Weigang, dan rakan sejawatannya dari Pahang, Dollah Salleh, menarik nafas lega apabila kedua-dua pasukan berkongsi mata hasil keputusan seri 1-1 dalam aksi Liga Super di Ipoh, malam tadi.

Bagi Weigang, semalam adalah percaturan sebenar bagi The Bos Gaurus kerana sebelum ini Perak kurang perlawanan kompetitif.

"Apabila kurang perlawanan dengan pasukan kuat, saya kategorikan Perak kurang 'kecergasan perlawanan'.

"Lihat sahaja perlawanan semalam, Perak hanya mendapat rentak dalam separuh masa kedua. Walaupun mencuba, barisan pemain gagal menekan Pahang. Secara taktikal kami gagal bergerak sebagai satu unit.

"Saya harap masalah ini dapat diatasi sebelum menentang Pulau Pinang," tambahnya.

Dollah pula memuji skuadnya kerana berjaya menyerap asakan tuan rumah.

"Saya berterima kasih kepada pemain kerana berjaya menjalankan tanggungjawab masing-masing.

Percaturan Pahang dalam perlawanan akan datang pasti berbeza apabila masalah pemain import dapat diselesaikan.

"Tidak mustahil sasaran untuk berada dalam tiga pasukan teratas musim ini boleh menjadi kenyataan," katanya.