"Kami tetap waspada dengan Kelantan,” demikian ditegaskan oleh kapten pasukan Perak, Shahrom Kalam, yang enggan mengambil mudah aksi berdepan The Red Warriors dalam saingan Liga Super, malam ini.

Menyedari situasi skuad lawan yang dihimpit tekanan, Shahrom menggesa rakan sepasukan agar tidak bersikap sambil lewa dengan mengambil mudah perlawanan itu.

Apatah lagi, jika dinilai aksi Kelantan tempoh hari, penguasaan perlawanan lebih memihak kepada pasukan itu dan hanya tidak bernasib baik untuk menjaringkan gol.

Tidak mustahil moral Kelantan ketika ini lebih baik selepas belajar daripada tiga kekalahan lalu yang mampu membenam Perak jika mereka tidak fokus sebaiknya.

"Kami tidak boleh mengambil mudah perlawanan ini, Kelantan adalah pasukan yang kuat dan berdasarkan statistik, mereka mendominasi perlawanan-perlawanan sebelum ini. Saya yakin ini perlawanan sengit kerana kedua-dua pasukan memerlukan kemenangan," ujar Shahrom.

Perak kini seakan-akan mendapat suntikan semangat baru selepas berada di bawah kendalian Mehmet Durakovic dan berharap skuad ini mampu membuktikan sesuatu buat penyokong dalam misi meraih tiga mata, malam ini.