Pengendali Selangor, B. Sathianathan, mengakui pasukannya menerima tamparan hebat menjelang sepak mula Liga Malaysia bulan depan apabila kehilangan tonggak baru, Wan Zack Haikal Wan Noor, yang dilanda kecederaan serius.

Wan Zack ditimpa malang apabila mengalami kecederaan ketika perlawanan persahabatan menentang Home United dari Singapura, Selasa lalu.

Pemain muda terbaik kebangsaan 2011 itu mungkin terpaksa berehat panjang selepas dipercayai mengalami kecederaan ligamen lutut ACL.

Situasi itu jelas tidak menggembirakan Sathianathan yang hampir pasti tidak dapat menggunakan khidmat Wan Zack sepanjang musim ini.

"Perkara ini boleh berlaku kepada mana-mana pasukan. Kami perlu menerima ketiadaan Wan Zack dan berharap pemain-pemain lain dapat mengisi kekosongan dengan baik," kata Sathianathan.

Wan Zack pernah ditimpa kecederaan ACL pada 2013 yang menyebabkannya terpaksa berehat lama dan tidak dapat meneruskan kontraknya bersama kelab Jepun, FC Ryukyu.

Dia kemudian bergelut untuk kembali ke tahap terbaiknya sehingga namanya menjadi sebutan ketika beraksi bersama Felda United dua tahun lalu.

"Permukaan padang menjadi faktor kecederaan yang dialami oleh Wan Zack dan kami perlu mencari padang yang baik untuk menghadapi perlawanan."