Pengendali Kelantan, Sathit Bensoh, mengakui masih terdapat kelemahan dalam permainan The Red Warriors (TRW) di sebalik melakar kemenangan 1-0 ke atas Persija Jakarta dalam kejohanan pra-musim, Piala Super, di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi.

Bagi Sathit, dia berpuas hati dengan aspek pertahanan pasukannya yang berjaya mengekalkan disiplin sepanjang permainan.

Namun, pengendali dari Thailand itu sedar jentera serangan pasukannya perlu lebih ampuh untuk mengharungi kempen Liga Super musim ini.

Aksi malam tadi menyaksikan Kelantan meraih gol tunggal menerusi sepakan penalti Bruno Lopes pada minit ke-76 selepas Ferdinand Sinaga dikasari lawan dalam kotak penalti.

"Mereka sebuah pasukan mantap.

"Kami perlu meningkatkan corak serangan kami, inilah kelemahan kami.

"Namun, kami mencipta peluang, cuma perlu menjaringkan gol," katanya.

Dalam masa sama, pengendali Persija, Alessandro Stefano, mengakui pemainnya sedikit keletihan berbanding ketika menewaskan Ratchaburi dari Thailand 3-1 dalam aksi pertama, minggu lalu.

Stefano turut memuji kekebalan benteng lawan yang diterajui Amirizdwan Taj Tajuddin.

"Mereka mempunyai seorang pertahanan dari Brazil, Cassio de Jesus, dan saya mengenalinya ketika dia beraksi di Indonesia bersama Semen Padang yang membentuk gandingan kental bersama seorang lagi pemain (Amirizdwan).

"Pemain saya telah cuba mengasak tetapi tidak berjaya.

"Kami tidak dapat melakukan persediaan dengan baik dalam sesi latihan dan agak keletihan," kata Stefano.