Perkara yang cuba dielakkan oleh Sabah dalam aski pramusim di Indonesia akhirnya berlaku juga apabila pemain tonggak, Maxsius Musa, mengalami kecederaan bahu.

Pemain tengah skuad Tambadau itu dikatakan terpaksa direhatkan kira-kira sebulan kerana bahunya terkehel selepas bertembung dengan pemain Persija dalam perlawanan Piala Gabenor Jawa Timur di Stadium Kanjuruhan, Malang, semalam.

Pengurus, Henry Soimpon, berkata Maxsius terpaksa dikeluarkan dalam babak kedua dan dikejarkan ke hospital untuk menjalani pemeriksaan.

"Selepas perlawanan itu, Maxsius mengadu sukar untuk mengangkat tangan kirinya kerana bahunya sakit.

"Kami kemudian membawanya ke hospital dan selepas ujian x-ray, doktor mengesahkan bahunya terkehel," katanya.

Henry berkata ketua jurulatih, Kurniawan Dwi Yulianto, dijangka akan memberi peluang kepada pemain-pemain simpanan untuk beraksi dalam perlawanan terakhir Kumpulan B bertemu Persela FC di Stadium Kanjuruhan esok.

"Saya berharap pemain akan lebih berhati-hati dan tidak terlalu mengikut emosi bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku," katanya.