Pengurus PKNS FC, Mahfizul Rashid, mengesahkan perancangan musim 2019 tertumpu kepada kelibat pemain muda yang secara tidak langsung memungkinkan nama-nama besar seperti Safee Sali tiada dalam perancangan selain hanya seorang import yang akan dikekalkan, iaitu Romel Morales.

Atas faktor bajet, PKNS perlu berhemah dalam membentuk pasukan musim depan.

Justeru, adalah tidak menghairankan jika nama-nama seperti Safee dan empat lagi pemain import, Bruno Matos, Zachery Anderson, Rafael Ramazotti dan Faris Ramli tidak berada dalam perancangan skuad itu selepas ini.

PKNS terpaksa menawarkan gaji yang lebih rendah daripada kontrak musim ini dan hal itu memungkinkan Semut Merah kehilangan pemain bintang.

"Kami telah membuat keputusan mengenai pemain yang akan digugurkan pada musim depan.

"Kami telah memaklumkan kepada mereka lebih awal agar memudahkan proses buat mereka mencari pasukan baru," katanya.

Khabarnya hanya Mahali Jasuli yang berada dalam perancangan pengendali PKNS, Datuk K. Rajagobal.

Sekiranya itu berlaku, Mahali bakal menjadi pemain paling senior bagi skuad 2019 memandangkan majoriti anggota skuad lain terdiri daripada pemain muda dengan kriteria pernah menyarung jersi Harimau Muda B dan C sebelum ini.

"Dia sesuai dengan corak yang diterapkan Rajagobal.

"Apapun, penilaian terakhir terletak kepada jurulatih berdasarkan karakter, kualiti permainan dan prestasi semasa para pemain," katanya lagi.