Tingkah laku antara aspek paling penting bagi jurulatih Selangor, B. Sathianathan, untuk memilih kesebelasan utama menjelang sepak mula Liga Super Malaysia bulan depan.

Dalam aksi penentu juara Piala Cabaran Asia di antara Selangor dan True Bangkok United, pasukan tuan rumah itu terpaksa akur dengan kekalahan tipis menerusi penentuan sepakan penalti 4-2.

Bagaimanapun, Sathianathan kagum dengan aksi yang dipamerkan skuad kendaliannya walaupun keadaan padang kurang memuaskan sselepas hujan.

"Saya nampak pemain-pemain memiliki perwatakan yang positif dan mereka sedia untuk memberikan yang terbaik dan mahu memenangi sesuatu. Ini yang saya saksikan daripada pasukan Selangor," kata Sathianathan.

"Perkara paling penting, setiap pemain sedia berkorban demi rakan sepasukan."

Aksi menentang True Bangkok juga menyaksikan pemain-pemain muda seperti Muhammad Azrin Afiq Rusmini dan Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi, mempamerkan aksi memberangsangkan menjelang Liga Super yang bakal membuka tirai bulan depan.

"Persaingan amat diperlukan. Ramai pemain boleh beraksi dengan cemerlang dan ia adalah satu perkara yang baik buat pasukan," kata kapten Selangor, Taylor Regan.

Selangor bakal membuka kempen Liga Super menentang Pahang di Stadium Darul Makmur, 29 Februari depan.



Editor: Ammar Hakim