Pemain Selangor, Nurridzuan Abu Hassan, berdepan hukuman denda dan digantung perlawanan kerana menunjukkan isyarat lucah tatkala B. Satianathan mengakui tindakan pemain itu "teruk dan memalukan".

Nurridzuan mencetus kontroversi sejurus dilayangkan kad merah pada minit ke-57 dalam aksi Liga Super menentang Perak di Shah Alam, malam tadi.

Dia menunjukkan isyarat lucah kepada penyokong Perak ketika berjalan keluar dari padang menuju ke bilik persalinan.

Tindakan Nurridzuan yang juga bekas pemain Perak itu menimbulkan kemarahan penyokong pelawat selain mengundang rasa kecewa Sathianathan.

"Saya berasakan tindakan itu tidak seharusnya dilakukan oleh pemain tersebut. Dia mungkin bekas pemain Perak, tetapi dia harus bersikap profesional," kata Sathianathan.

"Saya bagi pihak Selangor ingin memohon maaf kepada penyokong yang hadir menyaksikan perlawanan di Stadium Shah Alam."

Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pernah menjatuhkan hukuman denda dan penggantungan perlawanan ke atas Ahmad Syamim Yahya kerana menunjukkan isyarat lucah.

Ia berdasarkan artikel 59 kod tatatertib FAM 2015 kerana kelakuan yang menyinggung dan 'fair play'.

Dalam pertemuan semalam, Perak terlebih dahulu di depan hasil jaringan Nor Hakim Hassan pada minit ke-36, namun Selangor segera menyamakan kedudukan menerusi Sandro da Silva tiga minit kemudian.

"Secara keseluruhan saya berpuas hati dengan keputusan yang diraih Perak dalam perlawanan ini. Jika kami mahu menang, kami perlu memastikan jaringan berjaya dihasilkan," kata pengendali Perak, Mehmet Durakovic.