"Bukan sesuatu yang mustahil," demikian nada keyakinan yang dilontarkan oleh tonggak tengah Perak, Brendan Gan, mengenai peluang Perak untuk memintas Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam saingan Liga Super.

Perak kini menghuni tangga kedua Liga Super dengan 27 mata selepas 15 perlawanan dan sembilan mata di belakang JDT.

Bagaimanapun, Brendan tetap yakin dengan peluang pasukannya memintas Harimau Selatan itu dengan syarat Perak kekal konsisten, termasuk ketika berdepan Selangor di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, esok.

"JDT kini tidak di kemuncak prestasi biarpun memiliki pemain hebat.

"Tonggak import mereka juga ditukarkan ke JDT II.

"Mereka tidak bergantung kepada pemain tertentu di dalam barisan kesebelasan utama memandangkan mereka memiliki skuad sebesar 50 pemain.

"Sukar untuk meramalkan kesebelasan utama mereka, faktor itu memudahkan pasukan lawan untuk meraih sesuatu," kata Brendan.

Skuad Perak tiba di Kuala Lumpur hari ini tanpa kelibat dua tonggak import, Gilmar da Silva dan Leonadro dos Santos, yang menjalani pergantungan satu perlawanan.

Pengendali Perak, Mehmet Durakovic, mempunyai perancangan tersendiri bagi mengisi ketiadaan dua tonggak itu.

Apa yang penting buat bekas pengendali Selangor itu adalah memberikan kepercayaan kepada pemain-pemain untuk melaksanakan segala perancangan taktikal bagi memastikan tiga mata mampu diraih berdepan Selangor.

"Saya perlu memberi peluang kepada pemain. Peluang merebut kesebelasan utama terbuka buat semua pemain dan mereka perlu gunakan peluang yang ada untuk menonjolkan kemampuan.

"Adalah penting semua pemain cergas.

"Inilah bola sepak, apabila seseorang pemain tidak diturunkan, maka harapan saya penggantinya mampu beraksi baik.

"Kami memiliki perancangan permainan dan saya berharap ia berjalan lancar," kata Durakovic.