Meskipun sudah mengesahkan status dalam Liga Super, pengendali T-Team, Rahmad Darmawan, mengharapkan aksi terbaik dapat ditampilkan anak-anak buahnya dalam perlawanan terakhir menentang Pahang di Kuala Terengganu, malam ini.

“Pemain-pemain perlu membuktikan kemampuan mereka untuk meraih tiga mata sebagai tanda terima kasih kepada penyokong yang sentiasa berada di belakang pasukan ini.

“Meskipun khidmat (Makan) Konate dan Norhakim (Hassan) terpaksa diketepikan akibat kecederaan kecil, tetapi (Abdoulaye) Maiga akan kembali mengetuai barisan pertahanan.

“Saya berharap mereka tidak bersikap sambil lewa, sebaliknya terus bekerja keras untuk menang dan tidak mensia-siakan kelebihan beraksi di hadapan penyokong sendiri.

“Perlawanan ini boleh dikatakan sesi pemilihan, serta peluang kepada beberapa pemain yang jarang diturunkan, untuk dinilai sebelum kami membuat keputusan untuk pasukan 2017.

“Malah, ini juga medan untuk mengkaji kelemahan pasukan dalam menghadapi saingan lebih mencabar musim depan,” ujarnya lagi.

Mengulas lebih lanjut perancangannya bersama T-Team, ketua jurulatih berasal dari Indonesia itu menyerahkan sepenuhnya kepada pihak pengurusan untuk menentukan barisan pemain dan ketua jurulatih mereka.

“Perpindahan adalah perkara biasa dalam bola sepak tetapi pemain-pemain harus mengutamakan T-Team untuk berbincang dan jika mereka ingin kekal, itu lebih bagus dan sangat membantu kami.

“Saya sendiri perlu terus belajar dan memperbetulkan diri untuk menjadi yang lebih baik tetapi secara keseluruhannya, musim ini cukup membanggakan.

“T-Team juga berjaya melepasi sasaran pihak pengurusan, bukan sahaja kekal dalam Liga Super, malah kami berada pada kedudukan yang baik, selain mara ke separuh akhir Piala Malaysia berbanding sasaran awal hanya ke suku akhir,” katanya.