Selangor semakin kesuntukan masa untuk mencari seorang lagi tonggak import bagi melengkapkan pasukan selepas hampir pasti mengikat kembali Francis Forkey Doe dan mengekalkan pertahanan, Ugo Ukah.

Jurulatih Selangor, P. Maniam, enggan terburu-buru dalam membuat keputusan berkenaan biarpun didatangi ramai pemain import yang mahu mencuba nasib bersama Selangor.

Baginya, slot import terakhir ini antara watak cukup penting kepada pasukan kerana dia mencari seorang penyerang untuk bergandingan dengan Forkey Doe.

Buat masa ini, terdapat beberapa pemain dari Brazil, Itali dan Nigeria, namun masih gagal menambat hati Maniam untuk diserapkan.

“Kami masih membuat penilaian terhadap beberapa pemain import untuk dibawa masuk, kami melihat pemain yang paling bersesuaian untuk bersama Selangor,” kata Maniam.

Walaupun pada 2017, Selangor terpaksa beraksi di Stadium Selayang selain menghadapi masalah dalaman pasukan, Maniam menegaskan beliau mahu memburu permulaan cemerlang bagi meyakinkan majoriti penyokong Selangor.

Masih yakin dengan barisan sedia ada mampu memberikan cabaran, beliau meletakkan sasaran memburu kemenangan berdepan Pulau Pinang dalam aksi pembukaan Liga Super.

“Kami masih memiliki tiga perlawanan persahabatan. Dari situ, kami akan melihat tahap kecergasan pemain dan jika masih tidak mencapai tahap yang dikehendaki, kami perlu terus bekerja keras sehingga pembukaan musim.”