"The Cops tidak akan terkubur."

Itu janji pengurusan tertinggi PDRM dengan menjamin isu tunggakan gaji pemain dan jurulatih pasukan itu akan diselesaikan segera bagi mengelakkan sebarang risiko disingkirkan daripada Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.


PDRM antara pasukan yang tampak kritikal untuk melunaskan tunggakan gaji pemain dan jurulatih sebelum tarikh akhir Mac depan.

Ia kerana mereka dikatakan berdepan masalah penajaan ketika perlu menyelesaikan jumlah tunggakan gaji yang tinggi.

Difahamkan, ia membabitkan hutang gaji lima bulan, bonus perlawanan dan bonus layak ke Liga Super.

"Kami akan mengadakan mesyuarat Exco bersama presiden dan saya akan sampaikan apa hasrat pemain dan PFAM (Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia) yang mewakili pemain-pemain terlibat," kata Penolong Setiausaha PDRM, ASP Mohamad Hafiz Zainal Abidin.

"Kami akan cuba menyelesaikannya dengan keadaan yang harmoni, mengikut kemampuan yang kami ada."

Selain PDRM, Kelantan juga berdepan risiko disingkirkan kerana hutang yang tinggi.

Namun, situasi berbeza diperlihatkan Melaka apabila memberikan tindak balas positif dalam menyelesaikan tunggakan hutang sebelum hujung bulan ini.

"Sudah tentu ada beberapa isu yang kami perlu selesaikan," kata Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA), Farhan Ibrahim.

"Dan kami memohon jasa baik FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) untuk bertimbang rasa dalam perkara ini.

"Untuk terus dibuang daripada liga boleh dikatakan tindakan yang agak keras.

"Tetapi pemotongan mata adalah konsep yang lebih bertimbang rasa.

"Saya percaya Melaka akan menyelesaikannya dalam tempoh terdekat ini," katanya lagi.



Editor: Muzaffar Musa