Pengendali Kuala Lumpur, Fabio Maciel, mengesahkan sudah melanjutkan kontrak dengan Kuala Lumpur dan mempunyai perancangan untuk memperkasakan skuad Warga Kota itu dalam saingan Liga Super musim depan.

Bagi Maciel, dia gembira berada bersama The City Boys dan yakin mampu meneruskan kebangkitan pasukan itu dalam saingan Liga Super.

Pengendali kelahiran Brazil itu sedang fokus untuk memastikan tiga mata berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) II dalam aksi terakhir liga Jumaat ini untuk memastikan gelaran juara Liga Perdana memandangkan slot ke Liga Super musim depan sudah terjamin.

"Minggu lalu, kami telah mencapai kata sepakat dan saya telah pun menandatangani kontrak baru dengan Kuala Lumpur.

"Kami masih lagi mempunyai tugasan besar musim ini, iaitu untuk muncul juara Liga Perdana. Kami perlu memberi fokus.

"Sudah tentu cabaran pada musim depan lebih sukar tetapi saya sedar kemampuan yang dimiliki anak buah saya," ujarnya.

Bekas pengendali Timor Leste itu mengakui akan memperkasakan skuad Kuala Lumpur dengan empat atau lima muka baru berpengalaman dalam Liga Super dan sudah mencadangkan pemain yang disasarkan kepada pengurusan pasukan.

Maciel akan mengekalkan sebahagian besar tonggak pasukannya dan optimis Kuala Lumpur mampu memberi cabaran hebat dalam Liga Super musim depan.

"Adalah bagus untuk mengekalkan pemain dalam pasukan ini meskipun kami akan berdepan tahap cabaran yang lebih tinggi.

"Saya memerlukan empat muka baru, paling maksimum lima orang, kerana kami sudah mempunyai corak permainan tersendiri.

"Kami cuma perlu meneruskan usaha ini dan mampu meneruskan musim depan dengan baik," katanya.