Pengendali The Bos Gaurus, Karl Heinz Weigang, hanya mampu memerhati dari tempat duduk penonton ketika Perak seri 2-2 dengan PDRM FC di Stadium Perak, semalam.

Pasti banyak percaturan yang akan diterapkan oleh pengendali berpengalaman dari Jerman ini yang baru sahaja pulang daripada bercuti kerana menyedari pasukannya masih lagi mencari rentak dalam perlawanan persahabatan pra-musim.

Sementara itu, Ketua Jurulatih PDRM FC, Fauzi Pilus, melihat Perak bakal menyinar apabila kancah Liga Super membuka tirainya 20 Januari ini.

"Pasti mereka (Perak) pencabar terkuat Liga Super nanti. Lihat barisan pemain yang ada. Tetapi bagi kami, perlawanan hari ini banyak membantu PDRM mengenal pasti kelemahan" ujar Fauzi.

Berdasarkan keputusan perlawanan-perlawanan pra-musim, Perak seperti merindui sentuhan Weigang.