"Terima kasih Mohammed Ghaddar". Itu reaksi pengendali Kelantan, Zahasmi Ismail, selepas hatrik penyerang import dari Lubnan itu membantu memastikan kemenangan sulung The Red Warriors di laman sendiri musim ini.

Kelantan menamatkan badi kekalahan di gelanggang sendiri menerusi kemenangan 4-2 ke atas T-Team, malam tadi.

Kejayaan itu bertambah manis apabila Ghaddar mencipta hatrik keduanya berturut-turut untuk muncul penjaring terbanyak Liga Super setakat ini..

Menghasilkan gol pada setiap babak perlawanan, aksi cemerlang Ghaddar membolehkan Zahasmi kembali menarik nafas lega setelah Kelantan tumpas tiga perlawanan di Kota Bharu sebelum ini.

"Ghaddar telah mempamerkan aksi yang mantap selepas meledak hatrik ketika bertemu Perak dan T-Team, ia merupakan kelebihan buat kami bagi menghadapi perlawanan akan datang," kata Zahasmi.

Sementara itu, pertahanan T-Team, Arif Fadzilah, mengakui ketiadaan tonggak pertahanan, Abdoulaye Maiga dan Wan Ahmad Amirzafran, menjadi faktor benteng akhir The Titans gagal menjelmakan aksi ampuh.

"Jika jurulatih memberikan empat pemain di barisan pertahanan, mungkin T-Team boleh menghasilkan keputusan yang berbeza dalam perlawanan ini," ujar Arif.

Kali terakhir Kelantan menewaskan lawan di kubu sendiri adalah pada 11 Februari lalu ketika menerima kunjungan Felda United, dalam perlawanan yang berkesudahan 2-1.

Kejayaan menamatkan kemarau kemenangan itu meningkatkan rekod jaringan Ghaddar kepada sembilan gol ketika ini, prestasi yang jauh mengatasi pencapaiannya bersama Kelantan pada tahun 2012.