Penyerang sensasi Melaka United, Ilija Spasojevic, jelas sudah bersedia sepenuhnya untuk dilabel sebagai musuh utama oleh lawan dalam saingan Liga Super 2017.

Cemerlang bersama Melaka tahun lalu sebagai penjaring terbanyak Liga Perdana, kelibatnya pasti lebih mendapat perhatian pasukan lawan kali ini.

Namun, pemain berusia 29 tahun dari Montenegro berkenaan mengakui tekanan tinggi untuk mengekalkan prestasi walaupun menganggap situasi itu bukan perkara asing buat dirinya.

"Pemain import selalu ada tekanan yang tinggi," katanya. "Saya rasa sudah biasa dengan perkara itu.

"Saya tahu, tahun ini ramai pemain yang perlu diberi perhatian tetapi saya tidak memikirkan soal itu. Saya hanya fikir bagaimana saya boleh bantu pasukan saya untuk menang."

Spasojevic turut menegaskan skuad Hang Tuah tidak berasa gentar untuk menghadapi cabaran baru saingan Liga Super musim ini.

"Memang kami menghormati semua pasukan tetapi kami tidak takut. Bila kami mula takut, hasilnya tiada.

"Jadi, kami harus berani dan bermain dengan kepercayaan diri yang tinggi. Kami harus percaya Melaka United adalah antara pasukan terbaik di Malaysia ketika ini," tambahnya.

Sebelum menyertai Melaka tahun lalu, Spasojevic pernah beraksi bersama pelbagai kelab, terutama di Indonesia, sejak tiba di Asia Tenggara pada 2011.