Kapten Terengganu FC (TFC), Kipre Tchetche, yakin dapat membuka akaun jaringan Liga Super dalam aksi bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT) di Kuala Terengganu, Jumaat ini.

Menyedari kemampuan seorang penyerang diukur melalui jumlah gol, Tchetche, 31, menegaskan masanya akan tiba untuk dia kembali mempamerkan sentuhan pemusnah.

Begitupun, tonggak kelahiran Ivory Coast itu meletakkan kebangkitan TFC sebagai agenda utama, seterusnya kembali melonjakkan pasukannya ke kelompok atasan liga.

"Kami perlu melupakan kekalahan minggu lalu, sebaliknya fokus untuk aksi dengan JDT.

"Dalam bola sepak, pemain perlukan keyakinan dan saya yakin dengan diri sendiri untuk menjaringkan gol tidak lama lagi," kata Tchetche.

Prestasinya mengundang kecewa bukan sahaja jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim, malah peminat setia Sang Penyu yang merindui gelecekan dan ledakan berbisa Tchetche.

Kecederaan yang dialaminya pada penghujung 2018 menjadi punca permulaan perlahan bekas pemain kelab Oman, Al-Suwaiq, itu yang tetap optimis dapat segera menemui rentak.

"Kadangkala situasi agak sukar kerana jangkaan sangat tinggi manakala pasukan lawan semakin meningkat.

"Jadi, kami juga perlu menggandakan usaha untuk mencatat keputusan lebih baik," tambahnya.