Pasukan berstatus kelab, T-Team, sedang mengenal pasti penjaga gol baharu untuk memperkuatkan pasukan itu menjelang saingan Liga Malaysia (Liga M) 2017.

Ini berikutan dua penjaga golnya, Muhammad Ilham Amirullah dan Wan Mohamad Azraie Wan Teh, membuat keputusan berhijrah ke pasukan baharu.

Menurut penolong jurulatih The Titans, Mohd Azhari Salim, perkembangan itu jelas memberi tamparan kepada T-Team yang turut bakal kehilangan Muhammad Safawi Rasid.

“Kami terpaksa akur dengan keputusan mereka untuk mengubah haluan karier masing- masing walaupun pasukan ini masih memerlukan khidmat mereka.

“Saingan musim depan sudah tentu lebih mencabar dan getir, jadi pihak pengurusan seboleh-bolehnya mahu mengekalkan sebahagian besar pemain musim ini.

“Namun, kami perlu menghormati keputusan pemain-pemain dan ini termasuklah Safawi, yang sudah mencapai persetujuan dengan Johor Darul Ta’zim (JDT).

“Tugas kami juga lebih sukar kerana perlu mencari penjaga gol baru memandangkan kini hanya ada seorang penjaga gol ketiga, Mohd Izzuddin Hussin.

“Saya tidak tahu siapa lagi akan meninggalkan T-Team selepas ini,” katanya lagi.

Mohd Ilham, 22, yang mula mencuri tumpuan pada pertengahan musim dengan aksi cemerlang merampas kedudukan selaku penjaga gol utama, dikhabarkan akan menyertai Felda United manakala Wan Mohamad Azraie, 30, bakal kembali ke Pahang.