Pemain naturalisasi negara, Mohamadou Sumareh, mahu mengecapi kejayaan lebih gemilang bersama Pahang musim ini selepas sah memegang status sebagai pemain tempatan dalam Liga Malaysia berkuatkuasa semalam.

Liga Bolasepak Malaysia (MFL) akhirnya membenarkan rayuan Pahang untuk mendaftarkan Sumareh sebagai pemain tempatan dalam jendela perpindahan pertama berbanding bermula Mac tahun ini.

Keputusan itu dibuat MFL selepas mengambil kira sumbangan Sumareh ketika membantu skuad Harimau Malaya ke perlawanan akhir Piala Suzuki AFF bulan lalu.

Perkhabaran itu pasti melonjakkan semangat Sumareh untuk mengharungi Liga Malaysia 2019 dengan membantu skuad Tok Gajah meraih kejayaan lebih manis.

"Harapan saya tahun ini adalah beraksi dengan lebih baik. Tahun lalu kami berjaya meraih Piala FA dan melangkah ke suku akhir Piala Malaysia," katanya.

Sumareh, yang mendapat taraf kerakyatan Malaysia pada April 2018, telah membantu skuad Tok Gajah memenangi satu piala musim lalu, iaitu Piala FA.

"Pahang dalam proses membuat persiapan rapi untuk meraih lebih banyak gelaran tahun ini kerana ia adalah objektif utama bagi setiap musim," ujarnya.