Kelantan tampak di ambang penyingkiran susulan mengalami kekalahan ke-11 selepas tewas 3-0 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam saingan Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, semalam.

Ketika pasukan itu dilihat terus sukar untuk meraih kemenangan, pemain pertahanannya, S. Subramaniam, masih optimis dengan peluang The Red Warriors untuk kekal dalam liga utama itu pada musim depan.

"Kami tidak berada dalam situasi kritikal. Ia masih di dalam tangan kami. Kami menang satu perlawanan, kami akan kembali stabil. Kami hanya perlu fokus untuk perlawanan kami," katanya.

Meneruskan rentetan lapan perlawanan tanpa kemenangan, skuad Kelantan nyata tiada pilihan selain melunaskan misi wajib menang dalam dua aksi terakhir bertemu PKNS FC dan Melaka.

"Sasaran kami hanya untuk kekal dalam liga. Jadi, dalam dua perlawanan terakhir, kami perlu memberikan segala-galanya yang kami ada.

"Begitupun, ia adalah tugas sukar. Kami akan memberikan yang terbaik," tambahnya.