Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Azman Fahmi Osman, meminta Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) mencari venue lain sebagai gelanggang rasmi kerana Stadium Nasional Bukit Jalil terlalu banyak tempahan.

PSM terpaksa mengutamakan pihak yang membuat tempahan awal di stadium tersebut, antaranya program pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Kejohanan Ragbi Asia, program riadah dan hiburan.

Azman berkata setakat ini stadium tersebut sudah ditempah sehingga April dan jika FAS berminat, mereka boleh menyewanya bermula Mei depan.

"Mereka (FAS) perlu mendapatkan sama ada tempat baru atau menukar tarikh perlawanan. Kalau mereka boleh mengikut tarikh, syarat dan peraturan, saya rasa tiada masalah untuk mereka.

"Peracangan yang sedia ada sudah dibuat dari awal sebelum permohonan Selangor," katanya.

FAS bergelut mencari venue untuk skuad The Red Giants selepas PKNS diberi kebenaran menggunakan Stadium Shah Alam.

Pada musim lalu, Selangor beraksi di Stadium Selayang, namun venue itu kini berdepan masalah pencahayaan yang tidak memenuhi piawaian FMLLP.

Ini bermakna FAS perlu menyelesaikan isu lampu limpah Stadium Selayang atau mencari venue lain.

Selangor akan memulakan Liga Super dengan menentang Kuala Lumpur pada 4 Februari, diikuti Melaka dan Terengganu masing-masing pada 7 dan 10 Februari.