Skuad TFC hampir lengkap

By Tengku Danish Bahri 6 December 2019 713
Skuad TFC hampir lengkap
Pengendali Terengganu FC (TFC), Mohd Nafuzi Zain, tidak bercadang mendapatkan pemain lain selepas tewas dalam perebutan mendapatkan Nor Hakim Hassan.

Nafuzi berkata barisan pemainnya sudah hampir lengkap dan hanya menanti kemasukan seorang pertahanan import yang dijadualkan tiba Isnin ini.

Justeru dia enggan menekan butang panik selepas bekas pemain sayap Perak itu memilih untuk menyarung jersi Selangor bagi musim baru 2020.

"Memang dia (Hakim) dalam perancangan TFC dan saya juga mahukannya dalam pasukan ini.

"Tapi kami hormati keputusan dia dan saya akan teruskan dengan pemain sedia ada," jelas Nafuzi selepas sesi latihan pertama TFC, petang semalam.

Sementara itu, Nafuzi belum menutup pintu rundingan kepada pemain berpengalaman, Ashari Samsuddin, untuk terus menabur bakti kepada TFC.

Menurutnya, satu tawaran pembaharuan kontrak telah diberikan kepada Ashari namun tidak menerima respon positif daripada bekas pemain kebangsaan itu.

"Tidak timbul isu TFC 'buang' Ashari kerana sentuhannya masih diperlukan dan segala keputusan terletak di tangan dia.

"Mungkin juga persaraan menjadi pilihan tapi hanya dia yang boleh menjawab persoalan itu," tambah Nafuzi.

Kredit foto: Terengganu FC (TFC)

About Author

Tengku Danish Bahri

Comment