"Mula dengan kemenangan, akhiri juga dengan kemenangan," itu harapan kapten Felda United, Shukor Adan, yang menganggap aksi terakhir menentang Kedah, tetap perlawanan penting meskipun tidak mengubah kedudukan The Fighters di tangga kedua Liga Super.

Felda United bermula dengan langkah kanan dalam saingan liga musim ini apabila menundukkan Kedah 2-0 pada perlawanan pertama Februari lalu.

Sekali lagi bertemu dengan lawan yang sama dan kali ini untuk aksi terakhir, pertemuan malam ini, bagaimanapun, sekadar aksi pelengkap jadual buat skuad Felda, yang sudah mengesahkan gelaran selaku naib juara.

Tetapi bagi Shukor, selaku pemain paling berpengalaman skuad Felda, dia tetap mahukan rakan-rakannya memandang serius pertemuan di Stadium Darulaman.

"Kami masih belum mengetahui bagaimana corak permainan pasukan Kedah malam ini kerana mereka bakal beraksi dalam perlawanan akhir Piala Malaysia.

"Bagi kami, perlawanan terakhir tidak memberikan apa-apa makna buat pasukan Felda, cuma apa yang saya mahukan, kami memulakan aksi Liga Super dengan kemenangan, saya mahu menamatkannya juga dengan kemenangan," ujar Shukor.

Pandangan yang sama turut disuarakan oleh penolong jurulatih, Mohamad Nik, yang menjanjikan barisan terbaik berdepan Lang Merah untuk menamatkan kemarau enam perlawanan tanpa kemenangan.

"Ini merupakan perlawanan terakhir. Sama ada pemain kekal bersama pasukan Felda atau pun tidak, saya mengharapkan pemain bakal menampilkan aksi yang terbaik," katanya.